Sunday, January 31, 2010

Mana Bantal Saya?

Artikel menarik hari ini daripada Utusan Malaysia untuk dikongsi bersama.



BU, mana Kiki?” soal Aliyah Afifah Zamrud kepada ibunya. “Tak payah bawa Kikilah. Kita nak pergi stesen minyak saja,” balas ibunya. “Ala, nak Kiki juga....” rengek anak sulung daripada tiga beradik itu kepada ibunya lagi.


Kiki yang dimaksudkan kanak-kanak comel berusia enam tahun ini adalah anak patung Garfield yang sudah berwarna pudar. Anak patung ini menjadi teman karib si comel ini sejak dia berusia satu tahun lagi.

Menurut ibunya, Suhaiza Sharudin, bukan sahaja anak sulungnya, malah anak keduanya, Aliyah Athirah juga mempunyai tabiat yang sama. Bezanya, si kakak mengendong Kiki manakala adik pula dengan bantal kecil yang sudah pun bertukar warna (bantal busuk).
Namun ibu berusia 34 tahun ini mungkin bernasib baik sedikit kerana Aliyah Athirah ‘merelakan’ bantal busuk itu ditukar sarung tetapi tidak isi dalamnya. Jika tidak katanya, malu juga memandangkan bantal ini mempunyai ‘corak’ tersendiri dan tidak lagi berwarna putih bersih.

Kedua-dua teman karib kanak-kanak dikendong ke mana sahaja mereka pergi.
“Balik kampung atau melancong sudah pasti dibawa. Keluar dari rumah untuk ke kedai sekejap pun hendak bawa malah ke taska juga, cuma mereka tinggalkan dalam kereta kerana malu dengan kawan-kawan,” katanya lagi.
Situasi seperti ini pastinya bukan sahaja dialami oleh Suhaiza malah ramai ibu di luar sana melalui pengalaman yang sama. Anak sukar untuk berpisah dengan teman akrab mereka - “si bantal busuk.”

Punca


Mengulas isu minggu ini, Pakar Psikologi Kanak-kanak dari Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Mastura Badzis berkata tabiat tidak mahu renggang dengan bantal ini dipanggil clinging behaviour atau tingkah laku yang bergantung kepada sesuatu benda dan tidak mahu berenggang dengannya.

Ia tidak terhad kepada bantal atau anak patung sahaja, sesetengah kanak-kanak menjadikan kain selimut tertentu, sapu tangan dan seumpamanya sebagai objek selesa mereka.
Tingkah laku pautan (clinging behaviour) adalah sikap biasa yang sering terjadi kepada bayi dan kanak-kanak diperingkat awal,” katanya.

Biasanya tabiat itu bermula di rumah dan berlaku kepada kanak-kanak yang kurang stimulasi dan mahukan sesuatu atau peneman untuk menenangkan diri mereka.
“Kanak-kanak yang begini akan memegang bantal, kain atau anak patung sebelum tidur kerana rasa ingin ada seseorang bersama mereka,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata perlakuan menggentel bantal atau kain ini seakan memberi kanak-kanak tadi ketenangan dan keselesaan sehingga menjadikan mereka asyik. Dek keasyikan menggentel bantal tadi membuatkan mata mereka mudah terlelap dan perkara ini berulang-ulang sehinggalah ia menjadi satu tabiat yang sukar dikikis.
Kata beliau lagi, sesetengah kanak-kanak ini juga berbual dengan bantal atau anak patung kesayangan mereka.

“Ini merupakan satu cara untuk mereka berkomunikasi dan ia dipanggil teman imaginasi (imaginary friends). Sebenarnya mereka mahukan seseorang untuk meluahkan perasaan, namun disebabkan kesibukan ibu bapa atau pengasuh, luahan itu terpaksa disalurkan kepada teman imaginasi tadi,” kata beliau.
Selamat

Menurut Dr. Mastura, satu lagi punca tingkah laku yang bergantung kepada sesuatu ini juga disebabkan oleh rasa ingin selamat (sense of secure).
“Kanak-kanak kecil belum memahami konsep kehilangan sementara,” katanya.
Jelasnya, mereka tidak faham bahawa sesuatu benda yang hilang itu akan muncul kembali dan kerana itu mereka mahukan ada sesuatu yang menjadi peneman mereka.

“Dengan melakukan perlakuan demikian seperti menggentel bantal, kain dan sebagainya membuatkan mereka rasa selamat dan tidak ditinggalkan keseorangan,” jelasnya.

Risau

Dr. Mastura berkata, sebenarnya ibu bapa tidak perlu terlalu risau dengan tabiat mengendong bantal atau anak patung ini kerana ia bersifat sementara.
“Dalam hal ini ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengelakkan tabiat ini daripada berterusan,” katanya.

Ibu bapa atau pengasuh katanya perlu cuba memisahkan anak dengan rakan karib mereka ini secara perlahan-lahan.
Masa yang terbaik untuk memisahkan kanak-kanak ini katanya adalah ketika umur mereka mencecah tiga tahun. Sebaliknya jika dibiarkan perlakuan ini mungkin akan berterusan sehingga mereka dewasa.

Namun, terdapat juga kanak-kanak yang boleh berpisah dengan teman akrab mereka ini dengan sendirinya selepas memasuki taska kerana malu kepada rakan-rakan yang lain.
“Aktiviti seharian di taska yang banyak juga mengurangkan kebergantungan kanak-kanak tadi terhadap bantal atau anak patung mereka,” katanya.
Bantal busuk hingga dewasa

Memiliki bantal busuk hingga dewasa bukan perkara yang mustahil.
“Memanglah tidak ada kesan sampingan, tetapi tabiat ini boleh berlarutan hingga dewasa dan sukar dikikis jika tidak dikawal,” kata Dr. Mastura.

Sesetengah individu sukar berpisah dengan tabiat ini disebabkan ibu bapa mereka terlalu mengikut kehendak anak yang mahukan bantal busuk sentiasa ada bersama.
Dalam hal ini katanya, peranan ibu bapa dan pengasuh perlu ada untuk mengelakkan tabiat ini berterusan.

Sumber : Utusan Malaysia 31 Jan. 2010

Sunday, January 10, 2010

Susah Belajar Kerana Penyakit

Artikel ini saya ambil dari akhbar hari ini untuk dikongsikan bersama.

ANAK anda dilabel lembap dan lemah dalam pelajaran. Mereka diletakkan di kelas terakhir atau dalam kelas pemulihan. Guru-guru cuba mengajar mereka sebaik mungkin, namun akhirnya guru-guru pula kecewa. Hari ini diajar, esok sudah lupa. Ibu bapa dipanggil dan berbincang.

Persepsi guru, kanak-kanak ini tidak belajar di rumah dan kurang pemantauan daripada ibu bapa. Manakala persepsi ibu bapa pula guru-guru tidak memberi perhatian kepada anak mereka. Adakalanya berlaku perselisihan faham antara guru-guru dan ibu bapa yang menyebabkan ibu bapa berkecil hati dan minta bertukar sekolah. Guru-guru pula menilai kembali teknik pengajaran mereka mencari di mana silap mereka, teknik diperbaharui tetapi kanak-kanak ini tidak juga menampakkan perubahan. Masih tidak dapat membaca dan menulis seperti yang sepatutnya bersesuaian dengan usia mereka. Akhirnya guru-guru meminta pelajar ini di bawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Persoalannya, ke mana harus dibawa pelajar ini sedangkan mereka tidak mengadu sebarang sakit fizikal. Mungkin masalah mata dan telinga, maka mereka pun diperiksa oleh doktor yang mengesahkan pelajar ini adalah sihat dan tidak ada sebarang masalah.

Itu adalah senario biasa yang saya temui sepanjang kerjaya saya sebagai pakar psikiatri di Unit Bimbingan Kanak-kanak dan Remaja Hospital Universiti Sains Malaysia (USM). Bila mereka dirujuk ke Klinik Psikiatri timbul tanda tanya mengapa harus pergi ke Klinik Psikiatri sedangkan anak mereka tidak mempunyai masalah mental. Namun, setelah mereka menjalani ujian saringan, bertemu dengan doktor dan penerangan diberikan barulah mereka faham bahawa selama ini bukanlah salah guru-guru anak mereka tidak boleh membaca dan juga bukanlah salah ibu bapa yang telah bertungkus lumus memantau kerja-kerja sekolah mereka, rupa-rupanya mereka mempunyai masalah pembelajaran.

Masalah pembelajaran merujuk kepada kesukaran seseorang kanak-kanak itu dalam aktiviti pembelajaran yang melibatkan kebolehan bertutur, mendengar, membaca, menulis, mengeja, memberi penjelasan atau penerangan, mengatur maklumat dan mengira. Masalah ini sebenarnya berpunca daripada masalah neurologi atau saraf yang melibatkan pemprosesan maklumat di otak.

Pelajar yang mengalami masalah pembelajaran tidak sama dengan mereka yang terencat akal secara amnya. Tetapi mereka yang terencat akal pastinya akan mengalami masalah pembelajaran. Ini hanya boleh dibezakan dengan penilaian kognitif iaitu IQ atau ‘intelligent quotient’. Masalah pembelajaran adalah masalah yang berpanjangan sepanjang hidup seseorang. Walaubagaimanapun dengan adanya intervensi awal, nasib kanak-kanak ini boleh diubah.

Pemprosesan maklumat
Terdapat beberapa jenis masalah pembelajaran dan boleh dikategorikan kepada jenis pemprosesan maklumat yang bermasalah atau disebabkan oleh kesukaran pemprosesan maklumat itu sendiri.
Masalah pemprosesan maklumat dikategorikan kepada empat peringkat iaitu penerimaan maklumat, integrasi maklumat, penyimpanan maklumat dan pengeluaran maklumat.

1) Penerimaan maklumat
Maklumat diterima oleh semua deria seperti penglihatan, pendengaran, sentuh, rasa dan bau. Sekiranya seseorang itu mempunyai masalah persepsi penglihatan, ini akan menyebabkan kesukaran mengenal bentuk, kedudukan dan saiz sesuatu objek, dan juga masalah dengan susunan atau aturan.
Masalah pendengaran pula akan menyebabkan kesukaran menyaring bunyi luar dalam usaha untuk memberi tumpuan kepada sesuatu seperti suara guru ketika guru mengajar. Selain itu ada juga pelajar yang tidak dapat memproses deria sentuhan seperti sakit dan sentuhan.

2) Integrasi maklumat
Peringkat ini adalah peringkat menafsir segala maklumat yang diterima. Maklumat ini akan di letakkan dalam susunan dan mempunyai kaitan dengan pembelajaran atau pengalaman yang lalu. Pelajar yang menghadapi masalah ini tidak dapat menceritakan sesuatu mengikut turutan yang betul. Contohnya, turutan hari dalam seminggu. Mereka boleh memahami konsep baru tetapi gagal menggunakannya dalam gambaran yang lebih luas. Perbendaharaan kata yang lemah pula dikaitkan dengan masalah pemahaman.

3) Penyimpanan maklumat
Masalah dengan ingatan boleh berlaku pada aktiviti penyimpanan maklumat iaitu maklumat yang disimpan sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang. Kebanyakan masalah timbul disebabkan oleh masalah kesukaran mengingat perkara yang baru berlaku (jangka pendek) menyebabkan sukar untuk mempelajari perkara baru. Untuk mengingati perkara baru ini memerlukan ia diulang beberapa kali.

4) Pengeluaran maklumat
Maklumat dikeluarkan daripada otak menggunakan perkataan iaitu pertuturan atau melalui aktiviti otot seperti menulis, melukis atau menggayakan sesuatu. Kesukaran pengeluaran maklumat ini akan menyebabkan masalah dengan pertuturan contohnya seperti kesukaran menjawab soalan yang diajukan. Pada masa itu, seseorang itu perlu mencari semula maklumat dalam simpanan otak, mengatur dan mengeluarkannya melalui perkataan semasa kita bercakap. Ia juga boleh menyebabkan kesukaran dalam penulisan iaitu dalam konteks menyampaikan sesuatu idea seperti menulis karangan.
Kesukaran dalam pergerakan motor kasar pula akan menyebabkan seseorang kelihatan pelik seperti kelam kabut, mudah terjatuh, atau seringkali melanggar sesuatu ketika bergerak. Mereka juga mempunyai masalah berlari, memanjat dan kesukaran mengayuh basikal. Bagi mereka yang mempunyai masalah pergerakan motor halus pula akan mempunyai masalah memasang butang baju, mengikat tali kasut dan penulisan.

Jika seseorang itu mengalami kesukaran dalam pemprosesan maklumat , ia boleh menyebabkan beberapa masalah spesifik dalam pembelajaran. Boleh juga terjadi lebih daripada dua masalah pada seseorang individu.

1) Masalah kesukaran membaca
Kebanyakan masalah pembelajaran sangat berkait rapat dengan masalah pembacaan. Kesukaran membaca amat sinonim dengan disleksia. Kesukaran membaca ini boleh disebabkan oleh pelbagai masalah dalam mana-mana bahagian proses membaca termasuk kesukaran atau kefasihan mengenal huruf, masalah menghubungkan simbol dengan bunyi, kelancaran membaca dan pemahaman semasa membaca. Sebelum istilah disleksia digunakan, masalah kesukaran pembelajaran ini lebih dikenali sebagai buta huruf.

2) Masalah kesukaran menulis
Masalah dalam bahasa pertuturan juga dipanggil disfasia atau afasia. Kanak-kanak akan mengalami kesukaran dalam bertutur, mengutarakan pendapat atau memberi jawapan. Kesukaran dalam penulisan oleh merangkumi kesukaran dalam menulis, mengatur sesuatu idea dan mengarang. Istilah disgrafia selalunya digunakan untuk merangkumi semua masalah penulisan.

3) Kesukaran dalam pengiraan
Biasanya dipanggil diskalkulia, kesukaran pengiraan boleh menyebabkan kesukaran memahami konsep pengiraan seperti kuantiti, nilai dan masa, kesukaran mengingati fakta pengiraan, kesukaran mengatur nombor dan pemahaman tentang sesuatu permasalahan untuk dipindahkan ke dalam bentuk nombor di atas kertas untuk proses pengiraan.

4) Masalah pembelajaran bukan lisan
Masalah pembelajaran bukan lisan biasanya dicirikan oleh kejanggalan pergerakan, kelemahan kemahiran visuospatial iaitu masalah berkaitan ruang, masalah dalam hubungan sosial, kesukaran dalam membuat pengiraan dan kesukaran mengurus sesuatu. Mereka selalunya mempunyai kekuatan dalam bidang lisan, termasuk kebolehan bertutur yang awal, mempunyai banyak perbendaharaan kata, cepat membaca dan mengeja, dan cemerlang dalam tugasan yang selalu dilakukan.

Dispraksia pula kadang-kadang dipanggil masalah mengatur pergerakan, dispraksia merujuk kepada pelbagai kesukaran dengan kemahiran motor atau pergerakan. Justeru itu dispraksia boleh menyebabkan masalah dalam pergerakan mudah seperti kesukaran menyikat rambut atau melambai tangan, kesukaran pergerakan yang kompleks seperti menggosok gigi, memakai baju ataupun masalah yang berkaitan dengan ruang seperti meletakkan sesuatu objek secara tepat pada kedudukan yang dikehendaki.

5) Masalah kesukaran pertuturan dan mendengar
Kesukaran yang selalunya berlaku serentak dengan kesukaran pembelajaran ini termasuklah kesukaran dengan ingatan, kemahiran sosial dan fungsi melaksanakan sesuatu seperti menguruskan sesuatu atau pengurusan masa.

6) Masalah pemprosesan pendengaran
Kesukaran dalam pemprosesan maklumat termasuklah kesukaran dalam kebolehan memahami lebih dari satu tugasan pada satu-satu masa. Walaubagaimanapun, biasanya mereka mempunyai kelebihan iaitu mudah mempelajari sesuatu dengan menggunakan deria penglihatan.
Setelah mengenali punca-punca masalah pembelajaran, saya berharap kita dapat menilai kembali anak-anak kita. Mungkinkah mereka ini tergolong dalam kategori yang disenaraikan tadi. Sekiranya terdapat sebarang syak atau keraguan, bawalah anak anda berjumpa pakar psikiatri untuk penilaian lanjut. Pengesanan awal dapat membantu kanak-kanak ini menjalani program pembelajaran yang sewajarnya dan dapat mengelakkan komplikasi pada masa akan datang seperti tekanan emosi, kemurungan, rasa rendah diri, ponteng sekolah dan masalah disiplin.

Sumber : Utusan Malaysia 10 Jan. 2010
-----

Tetap Manis Tanpa Gula



Artikel menarik ini saya ambil dari akhbar hari ini.

SEPOTONG betik manis menjadi santapan pertama penulis pagi itu. Tak cukup dengan itu, segelas jus buah-buahan, semangkuk oat suam dicampur buah beri kering dan pelbagai jenis kekacang turut dihidangkan.

Menikmati sarapan pagi bersama keluarga penulis buku Fruitastic! dan Vegemania!, Mohana Gill di kediamannya memberi satu pengalaman baru buat penulis.

Sambil berbual-bual dengan suaminya, Dr. S.S Gill mengenai kebanyakan makanan yang terdapat di luar yang tidak menyihatkan, beliau berkali-kali menekankan tabiat pemakanan yang baik patut bermula di rumah.

Jus yang dihidangkan sememangnya enak. Berwarna merah keperangan, cukup rasa dan manisnya. Lantas penulis bertanya mengenai jenis buah yang digunakan.

Jawab wanita yang kekal anggun pada usia 70 tahun ini, ia campuran lobak merah, pegaga, epal dan halia. Sekali lagi penulis bertanya adakah ditambah gula berdasarkan rasanya yang sangat manis. Beliau menjawab tidak menggunakan gula dan ia adalah rasa buah semula jadi.

"Untuk mendapatkan jus yang manis, ia tidak memerlukan gula. Sebaliknya kita boleh menambah epal atau pun diletak sedikit buah anggur atau pisang," katanya.

Itulah kemestian bagi Gill sekeluarga. Buah dan sayur adalah dua hidangan wajib yang perlu ada setiap masa.

Beliau sekeluarga juga menikmati minuman lain seperti kopi dan teh. Namun tidak menambah gula atau pun menggantikannya dengan pemanis organik, gula Melaka atau pun madu.

Menyedari pengambilan bahan ini dalam kuantiti yang banyak tidak baik untuk kesihatan, beliau akan memastikan sukatannya tidak berlebihan.

"Jika sesuatu resipi itu memerlukan gula satu cawan, saya pastikan ia hanya separuh dan hasilnya, hidangan yang disediakan tetap enak dan tidak ada beza," katanya.

Dalam hal menghasilkan rasa yang terbaik, Gill sememangnya pakar. Dia tahu gabungan mana yang terbaik, bagaimana untuk mendapatkan rasa yang diingini dan apa yang perlu ditambah atau dikurangkan, hasil cubaan berkali-kali.

Ditambah lagi dengan cintanya yang mendalam terhadapi dunia buah-buahan dan sayur-sayuran, semuanya tidaklah terlalu sukar. Kata wanita ini, segelas jus buah-buahan setiap pagi memberi banyak manfaat untuk kesihatan.

"Perut yang kosong ketika bangun daripada tidur, lalu diisi dengan pelbagai khasiat, vitamin dan fitonutrien yang terkandung dalam jus buah-buahan akan membekalkan tenaga serta melindungi diri daripada pelbagai jenis penyakit," katanya.

Menurut beliau, minum jus adalah lebih mudah untuk mendapatkan khasiat yang terkandung di dalam sayur atau buah memandangkan mustahil seseorang itu boleh menghabiskan sebatang lobak merah (sebagai contoh) dalam satu masa.

Tabiat menggemari buah dan sayur ini turut diterapkan kepada ahli keluarga lain termasuk suami dan tiga anak lelaki serta seorang cucu perempuan yang baru berusia tiga tahun.

Menurut beliau, walaupun masih kecil, cucunya menggemari semua jenis buah-buahan termasuk lemon yang mempunyai rasa masam.

"Perkara ini disebabkan dia melihat contoh ibu bapanya yang gemar kepada dua hidangan berkhasiat ini," katanya.

Gill sangat menekankan peranan ibu dalam menentukan tabiat pemakanan yang baik di kalangan anak-anak.

Katanya, sememangnya ramai ibu bapa yang mengeluh mengenai sukarnya menyuruh anak makan buah atau sayur.

Jelas beliau, ibu perlu kreatif dalam menghidangkan dua jenis hidangan ini agar selera anak terbuka untuk menikmatinya.

"Misalnya dengan menghasilkan sate buah-buahan. Ibu boleh memotong pelbagai jenis buah di dicucukkan pada lidi. Jika ingin ditambah perisa, boleh diletakkan sos coklat atau pun kekacang," katanya.

Menyingkap mengenai minat yang mendalam terhadap buah dan sayur, Gill berkata, ia bermula lebih 15 tahun lalu apabila beliau mengikuti suami menghadiri satu konvensyen mengenai anti penuaan di Amerika Syarikat.

Katanya, dia sedar betapa ramai wanita seluruh dunia menghabiskan banyak wang untuk menjadi cantik dengan membeli produk tertentu juga melakukan suntikan mahu pun pembedahan kosmetik.

"Apa gunanya itu semua andai kita boleh mendapatkannya melalui cara yang mudah dengan menikmati buah dan sayur yang terbukti mempunyai khasiat untuk awet muda dan memberi pelbagai manfaat kesihatan," katanya.

Menyedari hakikat itu, beliau bertungkus lumus mencari maklumat mengenai kebaikan buah dan sayur selain menghasilkan pelbagai jenis resipi untuk dikongsi bersama. Lalu dengan itu terhasillah buku Vegemania! dan Fruitastic! yang bagi pendapat Gill adalah terjemahan minatnya terhadap dua bahan ini.

Selain itu, beliau turut mengusahakan beberapa buah kiosk menjual buah yang diberi nama Fruitastic Express di beberapa hospital.

"Malaysia sebuah negara bertuah kerana memiliki pelbagai jenis buah dan sayur serta ulam yang berkhasiat. Bagi saya buah tempatan adalah pilihan pertama dan kita perlu berbangga dengan produk sendiri," kata beliau yang sangat berterima kasih dengan Fama (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) kerana menyokong usahanya selama ini.

Resepi : Jus lobak merah, epal & ubi bit merah

Bahan-bahan
Sebiji epal
4 hingga 6 biji lobak merah
1/4 ubi bit merah (buang kulit)

Penyediaan
1. Buang empulur epal. Lobak merah pula hanya dipotong di bahagian hujung
2. Masukkan kesemua bahan dlm pengisar. Sedia utk diminum.

Tips mendapatkan jus segar & berkhasiat
- Buah & sayur seperti epal, pir, lobak merah & timun jangan dibuang kulit keranan kandungan khasiatnya.
- Minum terus jus yg dihasilkan kerana vitaminnya mudah hilang selepas beberapa ketika. Seeloknya antara 3 hingga 5 minit.
- Tidak perlu dicampur air. atau boleh dikisar bersama sedikit ais utk rasa sejuk.
- Tambahkan sedikit halia atau serbuk kayu manis utk meningkatkan rasa.


Sumber : Utusan Malaysia 10 Jan. 2010
------

Saturday, January 9, 2010

Mengapa Perlu Menggunakan Pad & Pantyliner kain?

-----

Gunakan pad atau pantyliner dari kain? "Ho..ho..tidak sama sekali kerana saya adalah wanita moden yang sibuk dan bekerja". Jika jawapan ini tidak asing bagi anda, saya fikir anda perlu berhenti dan berfikir sejenak...mengapa pada zaman moden ini, cloth sanitary pad/pantyliner ini muncul dan seperti cloth diaper, ia mempunyai pasaran yang sangat luas dan sambutan yang sangat baik di negara-negara maju (saya ulang-di negara-negara maju) seperti di USA, UK, Canada, Australia dan Jepun yang para wanitanya juga moden dan sibuk bekerja seperti di negara kita juga. Pasti ada keistimewaan dan kebaikannya, bukan?

1. Sudah tentu kebaikan pad dan pantyliner ini tidak jauh bezanya dari cloth diaper dari segi penjagaan kesihatan, pengawalan pencemaran alam sekitar, keselesaan, kecantikan dan penjimatan kos yang amat ketara jadi, saya tidak perlu untuk menerangkan semula segala kebaikan tersebut kerana anda lebih bijak untuk menilainya.

2. Perbezaannya ialah oleh kerana pad bertujuan untuk menyerap darah bulanan wanita, anda mungkin merasa tidak selesa untuk membawa darah "kotor" anda atau membasuhnya tetapi ini bukanlah alasan yang baik untuk anda tidak mahu memakai cloth pad kerana seperti disposable pad, anda juga perlu untuk membasuhnya sebelum dibuang, bukan? Darah bulanan anda bukanlah sesuatu yang kotor dan menjijikkan kerana ia adalah proses pembersihan fizikal semulajadi dan bukannya satu penyakit yang menjijikkan dan memalukan yang perlu anda buang begitu sahaja. Percayalah, bau kurang enak itu bukannya bau darah anda, ia adalah bau hasil dari tindakbalas kimia yang terdapat dalam disposable pad tersebut! Dengan menggunakan cloth pad, anda hanya perlukan satu bag (seelok-eloknya wet bag) untuk menyimpan dengan baik pad yang telah anda gunakan sebelum ia dibasuh dengan bersih.

3. Disebabkan pad/pantyliner ini dibuat dari fabrik yang sangat lembut (flannel atau microfleece), anda akan berasa sangat selesa sehinggakan anda merasa seperti tidak memakai apa-apa selain dari seluar dalam anda sendiri! Tidak seperti disposable pad yang dibuat dari plastik, kertas serta bahan kimia bertoksik, kain flannel dan microfleece adalah sejuk dan lembut serta membenarkan pengudaraan yang baik serta mengelakkan kegatalan dan infeksi pada vagina. Flannel adalah fabrik yang berupaya menyerap dengan baik dan microfleece pula adalah fabrik yang "stain-resistant" jadi darah yang melekat sangat mudah ditanggalkan. Anda tidak perlu risau tentang kebocoran kerana cloth pad juga dilengkapi dengan waterproof fabric (PUL dan fleece) jadi, ia berupaya untuk mengelakkan sebarang kebocoran. Anda juga tidak perlu risau tentang kebersihan atau dari aspek 'hygenic' nya kerana ia sama seperti seluar dalam anda yang boleh anda pakai dan basuh berkali-kali setelah dipakai.

4. Pemakaian cloth pad secara berterusan sewaktu haid juga dapat mengurangkan atau menghentikan terus kesakitan akibat senggugut secara beransur-ansur kerana darah anda akan keluar lancar tanpa gangguan dari bahan kimia dan bahan toksid yang terdapat pada disposable pad yang boleh meresap ke dalam tubuh anda. Terdapat banyak testimonial dari wanita yang tidak lagi mengalami senggugut yang teruk sejak bertukar ke cloth pad. Tahukah anda bahawa 83% dari wanita hari ini terdedah kepada jangkitan faraj dan 62% adalah disebabkan penggunaan disposable pad yang berkualiti rendah!

5. Dengan adanya cloth pad juga anda akan sentiasa mempunyai bekalan pad yang cukup tanpa perlu berkejar ke kedai sewaktu kecemasan seperti yang biasa anda alami jika memakai disposable pad.

6. Vagina wanita adalah sangat sensitif dan istimewa, jadi berikanlah yang terbaik dari segi penjagaannya. Saya sendiri telah menggunakan cloth pad dan cloth pantyliner ini dan sejak menggunakannya, saya tidak lagi menggunakan disposable pad walau pun ketika keluar dari rumah. Pada mulanya, saya membeli cloth pad dari USA yang dibuat oleh WAHM (working at home mom) kerana keinginan yang kuat untuk mencuba tetapi oleh kerana ianya diimport, harganya agak mahal. Kini, saya tidak perlu risau lagi kerana saya sudah menemui penyelesaiannya: cloth pad yang rekaannya lebih cantik dan selesa, menggunakan fabrik yang sebahagiannya diimpot tetapi dijahit oleh ibu-ibu di Malaysia dan harganya jauh lebih murah!! Ramai kawan saya juga telah melakukan perubahan yang sama dan kini saya ingin berkongsi perkara yang baik ini dengan anda semua. Buat pengetahuan anda, saya masih mempunyai 2 packs ( 2 x 10 pcs) disposable pads yang telah saya beli sebelum ini yang masih tersimpan dan tidak lagi saya gunakan! Kini tiba giliran anda untuk melakukan perubahan. Anda tidak akan rugi apa-apa untuk mencuba kerana lumrahnya, kita sendiri yang akan tahu kebaikan sesuatu yang baru setelah kita mencubanya sendiri.

Sumber : http://mum7kids.blogspot.com/2009/08/new-saffa-pantyliners-and-heavy-pads.html

----

Wall Sticker

Baru-baru ini saya ada beli wall sticker & ini adalah hasilnya. Mungkin boleh jadi cetusan idea buat kawan-kawan. Walau pun tak seberapa, tapi saya suka. At least boleh wujud kelainan di rumah kita.


Corak ni saya tampal kat bilik tidur, gambar bunga & burung layang-layang kut.



Dekat ruang tamu, saya letak corak bulat-bulat.


Ini pun di ruang tamu, sudut tepi saya letakkan gambar orkid.


Ini pula di ruang makan, saya letakkan gambar orkid dlm pasu.
--------------