Sunday, January 10, 2010

Tetap Manis Tanpa Gula



Artikel menarik ini saya ambil dari akhbar hari ini.

SEPOTONG betik manis menjadi santapan pertama penulis pagi itu. Tak cukup dengan itu, segelas jus buah-buahan, semangkuk oat suam dicampur buah beri kering dan pelbagai jenis kekacang turut dihidangkan.

Menikmati sarapan pagi bersama keluarga penulis buku Fruitastic! dan Vegemania!, Mohana Gill di kediamannya memberi satu pengalaman baru buat penulis.

Sambil berbual-bual dengan suaminya, Dr. S.S Gill mengenai kebanyakan makanan yang terdapat di luar yang tidak menyihatkan, beliau berkali-kali menekankan tabiat pemakanan yang baik patut bermula di rumah.

Jus yang dihidangkan sememangnya enak. Berwarna merah keperangan, cukup rasa dan manisnya. Lantas penulis bertanya mengenai jenis buah yang digunakan.

Jawab wanita yang kekal anggun pada usia 70 tahun ini, ia campuran lobak merah, pegaga, epal dan halia. Sekali lagi penulis bertanya adakah ditambah gula berdasarkan rasanya yang sangat manis. Beliau menjawab tidak menggunakan gula dan ia adalah rasa buah semula jadi.

"Untuk mendapatkan jus yang manis, ia tidak memerlukan gula. Sebaliknya kita boleh menambah epal atau pun diletak sedikit buah anggur atau pisang," katanya.

Itulah kemestian bagi Gill sekeluarga. Buah dan sayur adalah dua hidangan wajib yang perlu ada setiap masa.

Beliau sekeluarga juga menikmati minuman lain seperti kopi dan teh. Namun tidak menambah gula atau pun menggantikannya dengan pemanis organik, gula Melaka atau pun madu.

Menyedari pengambilan bahan ini dalam kuantiti yang banyak tidak baik untuk kesihatan, beliau akan memastikan sukatannya tidak berlebihan.

"Jika sesuatu resipi itu memerlukan gula satu cawan, saya pastikan ia hanya separuh dan hasilnya, hidangan yang disediakan tetap enak dan tidak ada beza," katanya.

Dalam hal menghasilkan rasa yang terbaik, Gill sememangnya pakar. Dia tahu gabungan mana yang terbaik, bagaimana untuk mendapatkan rasa yang diingini dan apa yang perlu ditambah atau dikurangkan, hasil cubaan berkali-kali.

Ditambah lagi dengan cintanya yang mendalam terhadapi dunia buah-buahan dan sayur-sayuran, semuanya tidaklah terlalu sukar. Kata wanita ini, segelas jus buah-buahan setiap pagi memberi banyak manfaat untuk kesihatan.

"Perut yang kosong ketika bangun daripada tidur, lalu diisi dengan pelbagai khasiat, vitamin dan fitonutrien yang terkandung dalam jus buah-buahan akan membekalkan tenaga serta melindungi diri daripada pelbagai jenis penyakit," katanya.

Menurut beliau, minum jus adalah lebih mudah untuk mendapatkan khasiat yang terkandung di dalam sayur atau buah memandangkan mustahil seseorang itu boleh menghabiskan sebatang lobak merah (sebagai contoh) dalam satu masa.

Tabiat menggemari buah dan sayur ini turut diterapkan kepada ahli keluarga lain termasuk suami dan tiga anak lelaki serta seorang cucu perempuan yang baru berusia tiga tahun.

Menurut beliau, walaupun masih kecil, cucunya menggemari semua jenis buah-buahan termasuk lemon yang mempunyai rasa masam.

"Perkara ini disebabkan dia melihat contoh ibu bapanya yang gemar kepada dua hidangan berkhasiat ini," katanya.

Gill sangat menekankan peranan ibu dalam menentukan tabiat pemakanan yang baik di kalangan anak-anak.

Katanya, sememangnya ramai ibu bapa yang mengeluh mengenai sukarnya menyuruh anak makan buah atau sayur.

Jelas beliau, ibu perlu kreatif dalam menghidangkan dua jenis hidangan ini agar selera anak terbuka untuk menikmatinya.

"Misalnya dengan menghasilkan sate buah-buahan. Ibu boleh memotong pelbagai jenis buah di dicucukkan pada lidi. Jika ingin ditambah perisa, boleh diletakkan sos coklat atau pun kekacang," katanya.

Menyingkap mengenai minat yang mendalam terhadap buah dan sayur, Gill berkata, ia bermula lebih 15 tahun lalu apabila beliau mengikuti suami menghadiri satu konvensyen mengenai anti penuaan di Amerika Syarikat.

Katanya, dia sedar betapa ramai wanita seluruh dunia menghabiskan banyak wang untuk menjadi cantik dengan membeli produk tertentu juga melakukan suntikan mahu pun pembedahan kosmetik.

"Apa gunanya itu semua andai kita boleh mendapatkannya melalui cara yang mudah dengan menikmati buah dan sayur yang terbukti mempunyai khasiat untuk awet muda dan memberi pelbagai manfaat kesihatan," katanya.

Menyedari hakikat itu, beliau bertungkus lumus mencari maklumat mengenai kebaikan buah dan sayur selain menghasilkan pelbagai jenis resipi untuk dikongsi bersama. Lalu dengan itu terhasillah buku Vegemania! dan Fruitastic! yang bagi pendapat Gill adalah terjemahan minatnya terhadap dua bahan ini.

Selain itu, beliau turut mengusahakan beberapa buah kiosk menjual buah yang diberi nama Fruitastic Express di beberapa hospital.

"Malaysia sebuah negara bertuah kerana memiliki pelbagai jenis buah dan sayur serta ulam yang berkhasiat. Bagi saya buah tempatan adalah pilihan pertama dan kita perlu berbangga dengan produk sendiri," kata beliau yang sangat berterima kasih dengan Fama (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) kerana menyokong usahanya selama ini.

Resepi : Jus lobak merah, epal & ubi bit merah

Bahan-bahan
Sebiji epal
4 hingga 6 biji lobak merah
1/4 ubi bit merah (buang kulit)

Penyediaan
1. Buang empulur epal. Lobak merah pula hanya dipotong di bahagian hujung
2. Masukkan kesemua bahan dlm pengisar. Sedia utk diminum.

Tips mendapatkan jus segar & berkhasiat
- Buah & sayur seperti epal, pir, lobak merah & timun jangan dibuang kulit keranan kandungan khasiatnya.
- Minum terus jus yg dihasilkan kerana vitaminnya mudah hilang selepas beberapa ketika. Seeloknya antara 3 hingga 5 minit.
- Tidak perlu dicampur air. atau boleh dikisar bersama sedikit ais utk rasa sejuk.
- Tambahkan sedikit halia atau serbuk kayu manis utk meningkatkan rasa.


Sumber : Utusan Malaysia 10 Jan. 2010
------

2 comments:

  1. sgt terliur tgk jus kt atas n bc artikel neh...kalolah menyedia jus semudah abc...

    ReplyDelete
  2. minum jus memang sedap & menyegarkan... kita boleh sediakannya mengikut apa bahan yg ada kat rmh kita..

    ReplyDelete