Thursday, July 7, 2011

Rahsia JUTAWAN Kini Terbongkar?

Cerita ni saya ambil dari komikniaga.com. Semoga jadi panduan & pengajaran kpd semua. Sharing is Caring.

Oleh : Nik Wafdi


Semalam aku jumpa seorang jutawan.” Malik bagitahu Iwan kawan rapatnya dengan penuh ‘excited’.
“Fuh! Best tu! Apa yang korang sembang?” Iwan bersinar biji mata. Jutawan!
“Macam-macam! Sampai ke pagi jugalah kitorang bersembang.” Malik sambung. Muka dia macam orang tak cukup tidur. “Wah! Cuba cerita apa yang korang sembangkan. Bukan senang nak dapat sembang dengan jutawan. Kau tanya dia tak rahsia macam mana dia jadi kaya?” Iwan tahu ini peluang keemasan. ......



Bodoh dan bangaklah sesiapa yang jumpa orang macam ni dan tak minta rahsia jadi jutawan.
“Mestilah tanya beb! Rugilah duduk bersembang dengan jutawan kalau tak tanya soalan cepumas tu.”
ternyata Malik tak bodoh mahupun bangak.
“Huih! Tak sabar aku nak tahu resepi kejayaan dia. Agak-agak orang macam kita boleh tak jadi kaya-raya macam dia tak?” Iwan sedar dia takde modal nak mula berniaga.
Teh tarik kat tangan pun dia harap Malik sudi belanja.

“Boleh sangat beb! Dia kata, aku ingat lagi, semua orang dilahirkan kaya sekaya-kayanya cuma kita aje tak sedar.” Malik bagitau penuh semangat.
“Hah? Biar betul! Ni mesti jutawan segera sebab dapat harta pusaka mak bapak dia ni.” Iwan macam kurang percaya. “Kau boleh tak dengar dulu apa aku nak cerita.” muka Malik Nampak menyampah. Potong stim sungguh. “Eh sori beb. Gua memang kaki nyampuk. Ok, sambung balik.” Iwan minta maaf.

“Dia kata semua kekayaan dalam dunia ni bermula dari dalam.” Malik sambung sembang gaya pakar motivasi.
“Dalam kocek?” Iwan kacau lagi. Otak Iwan memang selalu kacau-bilau.
“Kau nak dengar ke kau nak aku lempang kau? Dari dalam diri kita la Dol.
Kaya jiwa. Dia kata siapa yang miskin jiwa dapat harta banyak mana pun sudahnya miskin juga.” Malik menyirap tengok perangai kawannya yang suka potong Q.
“Habis tu apa kekayaan yang kita semua ada sejak kita lahir?” Iwan memang tak sabar. Tak sabar nak jadi jutawan gamaknya.

“Haaaa...kita di anugerahkan dengan something yang tak ternilai harganya sampaikan Bill Gates pun tak boleh nak beli walau dia manusia terkaya dalam dunia ni. Nyawa!” Malik bagi point yang sangat benar walau ramai benar yang tak ambil endah.
“Memang le. Siapa boleh beli nyawa.” Iwan mengiakan dengan nada kecewa.
“Pandai pun kau. Sebab tu kita kena hargai nyawa yang kita ada sebab tak semua yang bernyawa tahu menilai nyawa yang dia ada. Ramai yang ‘take it for granted’. Sampai ada yang sanggup ambil nyawa sendiri cuma kerana sesuatu masalah dalam hidup.” Malik cuba nak tegaskan kepentingan nyawa serta betapa ia amat berharga.

“Ye tak ye jugak kan. Bill Gates pun walau banyak harta tak terkira tapi bila sampai masa hilang nyawa, tak mampu dia beli nyawa dia sendiri walau dengan segala kekayaan yang dia ada. Apa lagi dia bagitahu kau?”
Iwan nak cepat-cepat skip ke tips yang seterusnya.
“Dia kata kita semua ada aset yang sama cuma kita aje tak perasan.”
Malik tak kedekut ilmu.

“Aset yang sama tapi tak perasan? Aset apa yang aku ada yang sama dengan Bill Gates? Biar betul!” Iwan dapat rasa tips kedua ni pun lebih kurang dengan yang pertama, biasa-biasa sahaja.
“Aset masa. Kita semua ada dua puluh empat jam sehari. Tak ada orang yang ada dua puluh lima jam sehari. ‘Fair and square’.” Malik bagi tahu dengan ceria seolah bagi jawapan teka-teki.
“Ler...Itu aku pun tahu.” Iwan kecewa. Dia buat lagi, Malik ni memang nak kena. Mana punya jutawan tak guna yang dia jumpa ni.

“Baru tadi kau tanya, ni aku dah cakap baru nak mengaku tahu. Ceh!” Malik bengkek. Iwan jelas tak ‘impressed’ dengan tip kedua ini.
“Yelah, aku ingatkan aset duit dalam bank ke, bond ke, saham ke, setakat masa memanglah semua orang dapat bahagian yang sama. Apa nak hairan.” jawab Iwan dengan muka toya.
“Masa tu emas orang kata. Masa yang dah lepas kita tak boleh beli walau sesaat. Mana ada orang yang mampu beli masa muda bila dia dah tua walau berapa billion dia ada dalam bank.”
Malik cuba nak jelaskan kepentingan masa. Iwan bukan tak percaya cuma dia mengharapkan tip yang luarbiasa. Tip rahsia yang takde orang terfikir.

“Betul jugak kan. Semua orang ada masa tapi tak semua orang hargai masa. Kita dengan selamba sempoinya menghabiskan masa dengan benda-benda tak berfaedah semata-mata kerana tak tau nak hargai masa. Bila dah sampai masa, baru sedar masa dah tinggalkan kita. Nak reverse dah tak boleh.

Sungguh, masa semua orang ada dua puluh empat jam sehari. Untunglah orang yang tahu menghargai masa.
Apa lagi dia cerita?” Iwan cuba sokong kenyataan kawannya agar cepat dapat beralih ke tip yang seterusnya.
“Dia kata kita ada satu harta yang kita cuma akan hargai bila dah tak ada. Bila dah hilang baru ada ‘value’.” Malik beriya-iya menyampaikan amanat jutawan semalam agar kawannya Iwan dapat terima dengan lapang dada.

“Dah tak ada baru ada harga? Aik? Ni prinsip ekonomi mana pulak yang dia pakai ni?” ternyata dada Iwan penuh dengan prasangka. Belum apa-apa dah nak kondem. “Haaa...Itulah kesihatan. Masa sihat ada kau letak harga atau menghargai kesihatan yang kau ada? Tak tau kan berapa harga? Cuba jatuh sakit. Kena demam la katakan. Sekali jumpa doktor dia cas tiga puluh ringgit. Sekarang harga kesihatan kau yang dah hilang sebab kau demam ialah tiga puluh ringgit. Faham?” Malik dengan sabar menerangkan fakta ini siap dengan contohnya sekali.

Ya sungguh. Mana ada orang tahu berapa harga kesihatan dia sampailah dia jatuh sakit. Buatnya sakit kronik, kena sampai puluh ribu ringgit, baru tahu selama ni dia ada puluh ribu ringgit yang tak dia sedar dia ada.
Susah jugak nak sedar harga sihat ni ye. Patutnya kita kena banyak-banyak bersyukur cuma kerana kita diberi sihat. Tak ramai orang tahu nak bersyukur dengan nikmat sihat ni, kita nak tunggu dapat duit baru nak bersyukur.” kali ni Iwan agak terkesan. Bukan sebab gembira dapat tip ketiga tapi jelas dia tak sangka kesihatan boleh dinilai dengan harga bil klinik dan hospital. Contoh yang menarik fikirnya.

Tu la pasal, berapa ramai orang kaya yang sakit jantung, sakit high-blood, sakit diabetes, dan macam-macam jenis penyakit lagi, bila dikira-kira balik dengan kita yang sihat ni, ‘plus-minus’ lebih kurang aje. Silap-silap kita lagi kaya. Bedal nasi lemak, roti canai, teh tarik, selamba aje. Diorang nak makan tak berani. Silap bedal masuk hospital. Kena duit lagi.” jelas Malik juga tumpang gembira Iwan dapat rasa betapa tip kali ni cukup berharga.

“Apa lagi? Tah apa-apa punya tips jutawan la yang kau dapat ni. Takde ke tips nak dapat duit juta-juta? “ tanya Iwan selamba lambada. “Ada. Tapi menurut jutawan ni, semua aset dia yang berjuta tu yang dalam bentuk wang ringgit, itu le asset yang dia tak pandang. Takde nilai katanya.” Malik kecewa. Nada suaranya tak seceria tadi. Dia tahu Iwan tak terkesima dengan tip-tip yang dia sampaikan.

“Biar betul! Kalau dia tak nak, bagi la kat aku. Aku nak! Nak sesangat! Apa la kau tak panggil aku masa kau jumpa dia semalam. Mau aje aku sapu semua duit yang dia tak pandang tu. Haduih! Takde nilai kepala hangguk dia, dia dah kaya boleh le kata macam tu. Kita yang sengkek-mengkek ni kalau dapat suku juta pun dah bahagia gila khinzir dibuatnya.” kali ni bukan sahaja Iwan tak nampak seronok, siap ‘temper’ lagi. Hangin satu badan bila dengar ada orang kata duit takde harga.

“Sungguh. Aku mula-mula macam tak percaya jugak tapi bila dia ‘explain’ baru aku faham. Memang betul.
Sikit pun takde nilai.” Malik berkerut dahi. Apa kena dengan kawannya ni dia pun tak tahu.
“Wei! Kau pun dah hilang akal apa? Macam la kau tu kaya sangat. Takde nilai kau kata? Kalau macam tu bak sini semua duit dalam wallet kau tu. Bagi kat aku. Tapi kau bukan ada sen pun. Paling banyak pun aku ingat ada la dalam sepuluh ringgit je dalam tu. Cakap besar. Macam la kaya sangat. Sengkek-marang-skeper sama aje macam aku nak cakap besar. Peeegidah!” Iwan makin bara. Terbakar dia dengar dakyah sesat kawannya yang tak masuk akal. Bodoh! Bangang! Badigol! Bonjol! Hamun Iwan sambil terkumat-kamit.

“Dengar la apa aku nak cakap dulu. Tak nak dengar sudah. Belum apa-apa dah nak hangin.” Malik dah tak kuasa nak layan angin amarah Iwan.
“Mau tak hangin. Orang punya la susah payah nak cari duit, usahkan juta, ribu pun jarang dapat tengok. Sekali ada pulak jutawan yang tak tau nak hargai wang ringgit, pastu kau pulak ‘support’, mau tak hangin satu badan.” terang Iwan dengan nada yang lebih rasional. Marah belum reda sepenuhnya, masih ada bara.

“Relax beb. Bagi gua terangkan dulu. Jangan cepat lompat ke ‘conclusion’. Dengar dulu dia punya explanation’. Dia tak kata wang ringgit tak ada nilai. Dia kata wang ringgit tak ada nilai bagi dia! Bukan sebab duit dia banyak sangat sampai dia tak tahu nak menilai kekayaan yang dia ada. Dia pun sama macam kita jugak, suka, ghairah, cinta pada harta kekayaan. Kalau boleh semua kekayaan atas dunia ni dia nak kaut. Masalahnya dia dah tak tinggal atas dunia ni. Dia dah meninggal dunia.” terang Malik menguak awan kejahilan yang memayungi akal fikiran Iwan.
“Innalillahi wainnailaihi rajiun. Bila dia meninggal dunia beb?” Iwan terperanjat.
“Lama dah. Dia pun tak bagitahu aku bila tapi ikut ceritanya memang dah lamalah.” Malik tak tanya tarikh yang tertera di batu nesan jutawan tersebut.
“Habis tu yang kau kata jumpa sembang borak dengan dia semalam tu apa cerita bro?” Iwan musykil.

“Dia datang dalam mimpi akulah.” Malik jawab pendek. “Ooooo...mimpi ke? Apa pasal tak mention awal-awal. Mimpi jumpa jutawan yang dah lama mati la ni?” Iwan baru faham.

“Yep. Entah apa kena mengena aku dengan dia, tahutahu muncul macam tu aje. Nak taknak kena la aku layan sampai pagi.” nyata Malik tak lena tidur semalam. Mimpi ngeri jumpa hantu jutawan rupanya.
“Balik pada kisah wang ringgit yang tak ada nilai buat dia tu, kenapa jadi macam tu?” Iwan dah tak marahmarah.
“Dia masa hidup dulu sibuk kejar kekayaan dunia. Memang atas dunia dulu dia banyak harta tak larat nak kira. Malangnya bila dia mati baru dia sedar dia seorang yang muflis sebenarnya. Semua harta yang dia kumpul bermati-matian semasa dia hidup dulu sikit pun tak membantu dia di alam kubur. Malah harta-harta itulah yang buat dia kena siksa tak putus-putus sampai sekarang.” jelas Malik dengan penuh penghayatan. Bukan selalu dapat jumpa orang mati dalam mimpi. “Habis tu semalam kau jumpa dia tu macam mana?” Iwan masih kabur. Andai si mati sibuk di siksa, masa bila pulak dia dapat pelepasan untuk di interview?

Aku sebenarnya seram juga nak cerita. Rupa dia dah macam zombi kampong pisang malah lebih buruk lagi. Sambil sembang aku nampak api menjulangjulang menyambar dia. Bila dia dah berhenti meraung-meronta baru dia sambung cerita. Jenuh nak faham apa yang dia kata. Siksa sungguh aku tengok dia. Fikir-fikir balik biar aku macam ni pun tak apa, sengkek-mengkek, asalkan aku tak kena siksa macam dia.” sambil pegang cawan teh, Malik menerangkan suasana temuramah yang disulami sambaran api serta raungan ngeri.

“Huih! Apa pasal teruk sangat?” Iwan mencebikkan muka seolah tersambar api. Ngeri. “Dia cerita semasa hayat dia tak tahu nak bersedekah, berzakat pun kalau boleh nak lari. Bila ada orang miskin ke, anak yatim ke, anak tahfiz ke mintak derma dia pandang serong. Dia kata diorang tu tau nak mintak sedekah aje, usaha malas, tau nak mintak duit kat orang aje. Kalau dia bagi pun tak ikhlas. Sekadar nak diorang berambus. Sekarang dah jadi macam ni baru dia menyesal tak sudah.” Malik letak balik cawan tehnya yang dah sejuk. Sembang sampai tak ingat nak minum.

“Mak aih! Susah jugak jadi jutawan ni ye. Susah nak selamat dalam kubur. Tu belum kira hari Kiamat, Mahsyar, Mizan, Sirat, Neraka. Kalau ada sekelumit iman dalam hati yang melayakkan masuk syurga pun entah berapa juta-lion tahun nak lalu azab siksa baru sampai pintu syurga. Enjoy kat dunia ni tak berapa tahun aje. Sungguh tak berbaloi-baloi.” Iwan insaf. Nyata nak jadi jutawan bukan senang, mati dalam status jutawan lagi tak senang.

“Sungguh. Lepas jumpa dia semalam, aku dah tak hingin nak jadi jutawan lagi dah. Biar le aku hidup sengkek-mengkek asalkan mudah untuk aku bersyukur dengan apa yang dah Allah anugerahkan pada aku selama ini, nikmat nyawa, nikmat masa, nikmat sihat, itupun dah tak terkira banyaknya rahmat yang Allah berikan. Andai aku susah, aku harap aku boleh bersabar dengan ujian Allah yang tak selama mana, sekadar hayat dikandung badan, habis hayat, habis ujian. Moga di alam-alam seterusnya tidaklah aku tergolong dalam golongan hambanya yang tak syukur dan tak sabar barang beberapa tahun kat atas dunia yang sebentar ni sampai kena azab tak terperi dan tak terukur lamanya.

Nauzubillahi min zalik.” Malik dah putuskan harapannya untuk meraih ‘title’ jutawan yang menjadi motivasinya selama ini. Ternyata kiblat hatinya jauh tersasar dari menghadap kepada Allah Rabbul Jalil.
“Habis tu apa jutawan tu nak sampai jumpa kau dalam mimpi semalam?” Iwan nak tahu kesudahan ‘interview’ semalam.
“Dia sekarang dah jadi pengemis. Dia mengemis simpati dari orang yang dia tak kenal agar disedekahkan barang sedikit al-fatihah untuk meringankan siksa yang dia tanggung.” Malik tenung cawan teh sejuknya. Nampak ada rasa simpati dalam hati.

“Anak-anak dia tak ada ke? Bini? Sedara-mara?” Iwan bertanya dengan suara yang penuh simpati. Simpati pada nasib si mati. “Ada. Malangnya dia kata diorang semua dah jadi macam dia. Harta peninggalan dia yang dah di wasiatkan dah buat diorang lupa pada tikar sejadah, lupa pada janji Allah yang pasti, lupa pada ajal. Semua sibuk dengan duniawi. Sibuk menguruskan bisnes si mati yang mereka pusakai, sibuk bermewah-mewah, sibuklah. Dia tak nampak macam mana nak mintak secebis doa dari darah dagingnya sendiri. Sampaikan dia pulak rasa macam nak berdoa agar diorang tu kembali ke pangkal jalan agar tak terima nasib yang sama tapi apa
kan daya.”

Malik menunduk. Terasa betapa dirinya pun akan terima nasib yang sama andai peristiwa semalam tak berlaku. Dia pun bercita-cita nak punya harta berjuta agar boleh bermewah-mewah. Siapa tak nak. “MasyaAllah. Sekarang baru aku nampak.

Patut le Nabi S.A.W. tak tekankan kita ummatnya supaya usaha sekuat hati untuk jadi kaya raya untuk membela agama sebab Baginda S.A.W. tahu bila ummatnya dah kaya, usahkan nak bela agama, diri sendiri pun tak terbela. Mudah sangat kita lupa diri dengan harta dunia yang sementara.

Nabi S.A.W. sendiri pun hidup sederhana walau pernah di ‘offer’ oleh Malaikat Jibril untuk jadikan dia sekaya Nabi Allah Sulaiman Alaihissalam. Dia mintak dua saja. Mintak agar dia dapat sabar bersama Allah dan mintak agar dapat syukur pada Allah sepanjang hayat Baginda S.A.W.” Iwan termenung. Hanya
kata-kata yang keluar dari bibir. Bila mata hati terbuka, mata kasar tiada terlihat pada alam lagi.

Siapa lagi yang patut kita ikut kalau nak selamat dunia akhirat kalau bukan Rasulullah S.A.W. Lepas ni siapa yang bercita-cita nak ikut Bill Gates ke siapa-siapa yang kaya gila sampai hilang akal atas dunia ni, satu perkataan aje yang terlintas kat kepala hotak aku: Kesian!” Malik pandang Iwan. Iwan masih termenung. Terpaku. Hanya kepalanya sahaja mengangguk setuju.
Tamat.

Marza : 'Nyawa', 'Masa', 'Kesihatan' - kita semuanya sama

No comments:

Post a Comment